SIMBIOSIS kebiasaannya dikaitkan dengan flora dan fauna. Ia membawa maksud talian perhubungan yang saling bantu membantu antara dua atau lebih unsur dalam flora dan fauna. Sebagai contoh, pokok memberikan perlindungan dan sebahagian makanan kepada semut dan sebagai balasan, semut-semut itu menjauhkan perosak-perosak seperti ulat bulu dan pijat-pijat tumbuhan.
Dalam merencanakan suatu hasil fotografi, konsep simbiosis melalui pengisian maklumat seperti tempat, peristiwa dan suasana 'secara visual' perlu diberi perhatian sewajarnya atau tidak keterlaluan diletak pada kedudukan paling atas dalam senarai semak.
Melihat foto kecil di sebelah kanan, sesiapa pun tahu bahawa ia adalah satu pemandangan atau suasana ketika matahari sedang terbenam. Cantik, sememangnya cantik. Tetapi maklumat yang ada padanya belum cukup untuk menerangkan lokasi pemandangan ini dirakamkan. Ia mungkin dirakam di mana sahaja kecuali dinyatakan secara bertulis. Suasana sebegitu boleh juga dihasilkan menggunakan imej yang dirakam sekitar jam 6.00 petang atau 7.00 pagi dan diproses menggunakan pelbagai jenis perisian.
Membuat keputusan untuk menggerakkan kamera beberapa darjah ke bawah (atau lain-lain arah) mampu menambah pengisian maklumat yang diperlukan. Keputusan harus dibuat cepat kerana foto kecil ini dirakam satu minit sebelum foto utama dari lokasi yang sama.
Spesifikasi Foto : Olympus E-520 | f5.6 | 1/80 | -0.7 E.V | 42 mm | ISO 400 | 16x9 (HD) | sRGB