'Rule Of Thirds' bukanlah perkara asas (utama) dalam bidang fotografi, namun ia sering menjadi panduan hampir sebilangan besar peminat fotografi khususnya berkaitan lanskap.
Melanggar panduan ini tidak juga menjadi satu kesalahan kerana ada ketika-ketikanya ia tidak sesuai digunakan khususnya berkaitan kewartawanan foto.
Sebagai panduan, berikut adalah contoh pemilihan subjek menggunakan kaedah 'rule of thirds'. Kebiasaannya kedudukan garisan melintang sama ada di bahagian 1/3 dari bawah atau 2/3 dari bawah adalah untuk kedudukan garisan kaki langit (horizon).
Jika anda ingin menunjukkan lebih banyak bahagian tanah atau air (laut, sungai atau tasik), letakkan garisan kaki langit pada kedudukan 2/3 dari bawah. Rujuk foto bawah.
Jika anda ingin menunjukkan lebih banyak bahagian langit dan awan, letakkan garisan kaki langit pada kedudukan 1/3 dari bawah. Rujuk foto bawah.
Kemudian tempatkan subjek seperti pokok, tiang, garisan dan seumpamanya pada kedudukan 1/3 dari kiri atau 2/3 dari kiri atau kedua-dua bahagian bergantung kepada kreativiti anda. Sebaik-baiknya berada pada titik pertemuan garisan melintang dan menegak (4 tempat kesemuanya).