'High Dynamic Range' adalah salah satu teknik yang digunapakai dalam bidang pengimejan dan fotografi untuk menghasilkan imej yang menghampiri standard pandangan mata manusia. Mata manusia mampu melihat pelbagai situasi keadaan cahaya sama ada yang terang atau yang gelap dalam masa yang sama.
Teknik HDR ini berfungsi melalui gabungan sekurang-kurangnya dua imej (sebaiknya tiga) yang setiap satunya mempunyai kadar dedahan cahaya (exposure value - E.V.) yang berbeza.
Satu imej adalah bacaan normal pada bahagian yang terang (bahagian yang gelap akan jadi terlalu gelap sehingga menghilangkan perincian - kurang dedahan cahaya); manakala satu imej lagi adalah bacaan normal pada bahagian yang gelap (bahagian terang akan jadi terlalu terang sehingga menghilangkan perincian - terlebih dedahan cahaya). Kedua-dua imej tersebut kemudiannya digabungkan (menggunakan perisian tertentu) bacaan yang normal sahaja.
Proses penghasilan HDR ketika awal pengenalannya memerlukan masa yang lama untuk dihasilkan kerana prosesnya agak rumit, lebih-lebih lagi teknologi di waktu itu masih terlalu jauh berbanding ketika ini. Berbeza di zaman ini, proses penghasilannya telah dipermudahkan beratus kali ganda. Penciptaan pelbagai perisian untuk menghasilkan HDR telah memendekkan penghasilannya sehingga tahap kurang dari lima belas (15) minit bergantung kepada kepantasan pemprosesan komputer anda. Teknik HDR kini telah mendapat perhatian dari pengeluar kamera terkemuka dan ada beberapa jenama telah menjadikan teknik tersebut sebagai satu nilai tambah dalam kamera, pun begitu ia masih belum mampu menghasilkan imej HDR seperti penghasilan melalui komputer.