Fotografi Panorama adalah satu teknik merakam imej yang lebarnya melebihi pandangan lurus mata normal tanpa mengerling atau menjeling. Jika diukur menggunakan 'focal length', pandangan normal mata adalah lebih kurang 50mm (lensa normal) dengan kelebarannya sekitar 46 darjah.
Secara umumnya, nisbah minima foto panorama adalah 2:1. Contohnya :
- Sekiranya foto tersebut melintang, lebarnya 2 bahagian manakala tingginya 1 bahagian.
- Bagi foto menegak pula, lebarnya 1 bahagian manakala tingginya pula 2 bahagian.
Kelebaran foto panorama boleh mencecah sehingga 360 darjah dengan nisbah 57:9 (50mm) atau 57:14 (18mm). Fotografi panorama sering digunakan untuk merakam pemandangan alam semulajadi, lanskap mahu pun bangunan.
Rakaman boleh dibuat menggunakan semua jenis kamera. Ia juga boleh dirakam menggunakan semua jenis lensa dari 'fisheye' hinggalah ke 'telephoto'. Proses penggabungan atau mencantum foto kemudiannya dilakukan di komputer menggunakan pelbagai jenis applikasi. Namun begitu, teknologi sekarang telah ada kamera yang mempunyai keupayaan mencantum imej secara dalam kamera tetapi terhad kepada format melintang sahaja.