Menanti tibanya saat yang paling sesuai untuk merakam matahari terbenam adakalanya menguji kesabaran. Kehadiran saat keindahannya sukar diramal. Walau bagaimana pun, terdapat beberapa panduan yang mungkin boleh dipraktikkan. Salah satu daripadanya ialah dengan memerhatikan ke ufuk barat.
Lihat ada atau tidak awan, bagaimana bentuknya. Penuh dan rata atau berkepul-kepul. Awan-awan ini nanti akan memberikan efek yang berbeza apabila cahaya matahari dipantulkan kepadanya. Pun begitu, langit yang cerah tanpa awan pun boleh menghadirkan suasana yang menarik.
Panduan yang lain pula lebih cenderung kepada sikap yang ada dalam diri anda. Sabar menanti. Keindahan matahari terbenam tidak tamat selepas matahari hilang di ufuk barat. Ia mungkin saat kemuncak yang paling dinantikan. Jika ditakdir berpeluang merakamkan saat ini, pasti anda akan nampak warna yang muncul di kaki langit sentiasa berubah setiap saat sehinggalah malam benar-benar hadir.
Sememangnya tidak rugi menanti. Andai anda sedang mengerjakan puasa sunat, jika perlu bawalah bekal tamar dan air sejuk kerana anda mungkin akan menikmati suasana berbuka puasa yang paling bermakna.
Spesifikasi Foto : Olympus E-520 | f8 | 1/250 | -0.7 E.V | 14 mm | ISO 100 | 16x9 (HD) | sRGB